Syarikat robotik marin tawar sambung operasi kesan pesawat MH370

Syarikat robotik marin tawar sambung operasi kesan pesawat MH370

Menurut Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, beliau telah mengadakan pertemuan dengan CEO syarikat terbabit dan wakil waris mangsa MH370.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengadakan pertemuan dengan eksekutif tertinggi syarikat robotik marin, Ocean Infinity di pejabatnya, pada Isnin. (Gambar Facebook Wee Ka Siong)
PUTRAJAYA:
Eksekutif tertinggi Ocean Infinity, sebuah syarikat robotik marin, dalam pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong semalam menyuarakan kesediaan untuk meneruskan operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 berdasarkan perjanjian “tiada penemuan, tiada bayaran”.

Wee berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif Ocean Infinity Oliver Plunkett dan wakil waris mangsa MH370 di pejabatnya dan Plunkett memberikan maklumat mengenai perkembangan terkini syarikat itu dalam aspek teknologi, kemahiran dan keupayaan berbanding lima tahun lepas.

“Beliau (Plunkett) menyatakan kesediaan Ocean Infinity untuk menyambung semula operasi pencarian MH370 berdasarkan perjanjian ‘tiada penemuan, tiada bayaran’, yakni pembayaran dibuat hanya jika syarikat itu menemukan serpihan pesawat berkenaan,” katanya di Facebook.

Wee berkata, beliau telah mengarahkan pegawai Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Ocean Infinity sebelum mengadakan rundingan dengan kerajaan Australia dan China untuk keputusan lanjut.

Pada 8 Mac 2014 pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan 239 orang di dalamnya yang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing, hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam selepas berlepas.

Sejak itu, beberapa negara melancarkan operasi pencarian berskala besar di selatan Lautan Hindi, namun tidak berhasil menemui sebarang pesawat mahupun serpihannya.

Pada Oktober 2017, kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya sedang berbincang dengan Ocean Infinity untuk membuat pencarian di bawah permukaan air selanjutnya di kawasan itu atas dasar tiada bayaran jika serpihan tidak ditemui.

Pencarian yang bermula pada Januari 2018 berakhir pada Jun 2018 tanpa hasil.

Wee berkata, mesyuarat itu diingatkan sekali lagi bahawa perlu ada bukti baharu yang boleh dipercayai sebelum operasi pencarian yang baharu boleh dimulakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.