
Katanya, SPRM beberapa tahun lalu menyiasat beberapa nama yang terkandung dalam suatu lejar dan dikatakan menerima wang.
Kewujudan lejar itu yang dikatakan disimpan seorang bekas pengurus UKSB disebut dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri, Zahid Hamidi.
Sumber memberitahu tidak semua yang disiasat terbukti melakukan rasuah.
“Dalam beberapa keadaan, tidak ada kes. Misalnya, dalam hal Khairy Jamaluddin, wang itu diserah kepada Umno bahagian dan dia tidak ada kuasa untuk membantu perniagaan UKSB. Oleh itu, wang berkenaan dianggap sebagai sumbangan politik dan itu tidak dilarang undang-undang,” kata sumber.
“Dalam hal Muhyiddin Yassin pula, tidak ada bukti menunjukkan dia terima sebarang duit. Namanya terkandung dalam lejar itu, tapi SPRM tak temui sebarang bukti. Jadi bagaimana nak tuduh dia?”
Menurut sumber itu lagi, penyiasat SPRM mendapati beberapa orang lain, termasuk anak saudara lelaki seorang bekas perdana menteri, didakwa menerima RM1.3 juta daripada UKSB.
“Ada beberapa ahli perniagaan dikatakan menerima wang, tetapi ketika itu kami diarah tumpu pada Zahid,” kata sumber.
“Sekarang ini kami meneruskan siasatan ke atas semua nama yang terkandung dalam lejar itu.”
Perkembangan siasatan SPRM itu dimaklumkan sumber di sebalik perhatian awam terhadap nama-nama ahli politik yang dikatakan terkandung dalam lejar tersebut.
Antara watak yang disebut adalah bekas menteri luar negeri, Anifah Aman; bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican; dan Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein.
Muhyiddin, Khairy, dan Anifah nafi terima wang daripada UKSB.
Terdahulu, NGO anti-rasuah, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), menyeru Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen memeriksa SPRM kerana tidak bertindak menyiasat watak-watak lain yang didakwa menerima sogokan daripada UKSB.
Desakan itu mendorong bekas perdana menteri, Najib Razak, menegur bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, dan bekas peguam negara, Tommy Thomas, kerana tidak memulakan siasatan ke atas watak-watak lain itu.
Latheefa dan Thomas memegang jawatan masing-masing itu ketika Zahid dituduh menerima rasuah daripada UKSB, pada 26 Jun 2019. Mereka dilantik oleh pentadbiran Pakatan Harapan.