Peguam Samirah bergelut dengan jurugambar di luar mahkamah

Peguam Samirah bergelut dengan jurugambar di luar mahkamah

Ketika menemani anak guamnya ke kamar mahkamah, S Suresh dilihat menepis kamera seorang jurugambar yang kemudiannya membalas dengan menendang peguam itu.

Peguam S Suresh bergelut dengan seorang jurugambar di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM:
Seorang peguam mewakili Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan terlibat dalam pergelutan dengan jurugambar akhbar sebelum perbicaraan di Mahkamah Tinggi hari ini.

S Suresh sedang berjalan bersama Samirah dan peguam lain ke kamar mahkamah apabila mereka dikepung oleh jurugambar yang menjalankan tugas, dengan polis mengarahkan mereka diberi laluan.

Suresh dilihat menepis kamera seorang jurugambar dan beliau dikatakan membalas dengan menendang peguam itu.

Seorang lagi jurugambar didakwa menolak Suresh ketika peguam itu memasuki satu lorong menuju ke kamar mahkamah. Suresh dikatakan menghampiri jurugambar pertama dan merampas kad media yang tergantung pada lanyard di lehernya.

Difahamkan jurugambar terbabit akan membuat laporan polis.

Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Samirah dan dua remaja itu daripada tuduhan membunuh setelah hakim Ab Karim Ab Rahman memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Samirah, 47, dua remaja itu yang kini berusia 16 dan 19 tahun, serta pembantu rumah warga Indonesia Eka Wahyu Lestari yang masih bebas didakwa pada 12 Mac 2019 atas tuduhan membunuh Nazrin di rumah mereka di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi hari seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.