
Zahidi berkata, beliau hanya menghadiri satu sesi taklimat dan tidak terlibat dengan mesyuarat berkaitan DNB.
“Menteri saya tak tahu (masuk mesyuarat atau tidak), kalau terlibat tak tahulah, mungkin menteri tak maklum pada saya. Tapi saya rasa terlibatlah dalam Kabinet ke apa tapi tak maklum,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum berkaitan DNB di Angkasapuri.
Zahidi turut mempersoalkan perkembangan projek tersebut di mana kosnya kini telah mencecah RM30 bilion.
“Isu dari segi 5G tidak ada perkembangan. Bukan sahaja rakyat cakap, tapi pihak luar negara pun berkata perkara sama.
“Pelabur pun nak tahu perkembangan kerana mereka belanja cukup besar tapi tidak tahu apa hendak dilakukan,” katanya.
Zahidi turut menambah, DNB dilihat mahu memonopoli penyediaan perkhidmatan 5G di Malaysia.
Sementara itu, Zahidi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat DNB kerana ia melibatkan kepentingan umum.
“SPRM kena siasat perbelanjaan DNB, dia bayar apa, kerana kita tak mahu jadi macam isu 1MDB sekali lagi Umno dituduh macam-macam,” katanya.
Pada 17 Jun lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, berkata tarikh akhir bagi syarikat telekomunikasi Malaysia untuk memutuskan sama ada untuk mengambil alih kepentingan dalam BNB kekal pada penghujung bulan ini.
Menurut Zafrul, semua pihak berkepentingan perlu berkongsi merasa berapa pentingnya untuk Malaysia meningkatkan kesalinghubungannya untuk perniagaan, pembuatan dan rakyat bagi kekal berdaya saing di rantau ini.