3 alasan Umno tolak Bersatu sertai MN, Shahril jawab Wan Saiful

3 alasan Umno tolak Bersatu sertai MN, Shahril jawab Wan Saiful

Ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu tidak pernah menolak agenda perpaduan ummah mahu pun membatalkan surat untuk menerima masuk MN.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, berkata tindak tanduk Bersatu termasuk mendaftarkan Perikatan Nasional menjadikan Umno enggan menerima kemasukan parti itu dalam Muafakat Nasional (MN).
PETALING JAYA:
Asas penubuhan, tindak tanduk ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah dan keputusan mendaftar Perikatan Nasional (PN) menjadi tiga alasan utama kemasukan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) ditolak Umno.

Ketua penerangannya, Shahril Sufian Hamdan, berkata tujuan asal Bersatu ditubuhkan bagi menggantikan Umno menjadi sebab paling jelas kemasukan parti itu ke dalam gagasan itu tidak diterima.

“Ini jelas apabila hampir separuh dari Ahli Parlimen Bersatu serta hampir keseluruhan pimpinan mereka di Sabah pasca PRU14 adalah bekas wakil rakyat Umno yang dianggap sebagai pengkhianat parti oleh akar umbi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan rakan sejawatnya dalam Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, hari ini, yang dilaporkan FMT berhubung parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu, tidak pernah menolak agenda perpaduan ummah mahu pun membatalkan surat untuk menerima masuk MN.

Shahril ketika mengulas lanjut, berkata tindakan Bersatu meletakkan calon di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa PRN Sabah untuk melawan calon Barisan Nasional (BN), menjadi alasan kedua penolakan Umno terhadap parti terbabit.

“Kedua, Bersatu tidak jujur dalam bekerjasama. Ini selepas Umno melepaskan kerusi tradisi seperti Sulaman, Kawang, Membakut dan lain-lain yang merupakan kerusi Umno tetapi dilepaskan kepada Bersatu. Umno juga tidak meletakkan calon atau calon Bebas,” katanya.

Katanya, tindakan mendaftarkan PN yang dilihat cubaan menggantikan BN menjadikan penerimaan Umno terhadap Bersatu dalam MN semakin lenyap.

“Sekali lagi, Bersatu yang ditubuhkan untuk mengganti Umno menubuhkan PN pula dengan tujuan yang sama, untuk mengganti BN. Bersatu tahu jika menyertai MN, tidak boleh mendominasi keputusan tanpa persetujuan anggota yang lain. Sebab itu mereka tubuhkan PN dan memikat PAS sekali,” katanya.

Beliau mendakwa, ada parti komponen BN dipelawa masuk PN tanpa sebarang perbincangan bersama Umno.

“Bila dah bertindak begini, macam mana nak terima masuk MN? Keputusan PAU2021 adalah jelas. Tidak akan ada sebarang kerjasama dengan Bersatu pada PRU15,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.