Perkukuh bahasa Melayu demi penyatuan, kata pemimpin Amanah

Perkukuh bahasa Melayu demi penyatuan, kata pemimpin Amanah

Faiz Fadzil berkata, mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua lambat-laun akan menjejaskan penggunaan bahasa Melayu.

ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil menggesa supaya bahasa Melayu digunakan dengan lebih meluas untuk mengatasi masalah penyatuan yang serius. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membantah cadangan ADUN Kebun Bunga, Jason Ong supaya kerajaan Pulau Pinang mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa keduanya yang rasmi.

ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil berkata, tindakan seperti itu lambat-laun akan menjejaskan penggunaan bahasa Melayu dan usaha untuk memperkukuhnya.

“Memandangkan kita berdepan isu penyatuan yang serius, bahasa Melayu sepatutnya diperkukuh untuk mengatasi masalah ini,” katanya kepada FMT.

“Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan di dalam Perlembagaan Persekutuan, setiap sektor mesti menghormatinya.”

Ong terdahulu hari ini berkata, penduduk Pulau Pinang sangat mahir berbahasa Inggeris dan penjawat awam di negeri itu tidak sepatutnya dihukum kerana menggunakannya.

Faiz bagaimanapun menggesa kerajaan supaya secara aktif memperkukuh bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, khususnya sebagai medium formal tanpa mengetepikan bahasa lain.

Bagaimanapun, ADUN Sri Delima, Syerleena Abdul Rashid dari DAP menganggap lebih banyak isu penting yang wajar dibahaskan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.

Katanya, sekolah-sekolah sepatutnya menawarkan pilihan untuk pelajarnya mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil, bukan sekadar bahasa Inggeris.

Menurutnya, tidak perlu mengiktiraf bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia memang sedia mampu berbahasa Inggeris.

Bagaimanapun, katanya, mereka perlu lebih berusaha memastikan supaya mahir berbahasa Inggeris.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.