P Pinang patut jadikan BI bahasa rasmi kedua seperti Sarawak, kata ADUN

P Pinang patut jadikan BI bahasa rasmi kedua seperti Sarawak, kata ADUN

ADUN Kebun Bunga Jason Ong berkata, kerajaan negeri patut mengiktiraf kepentingan Bahasa Inggeris.

ADUN Kebun Bunga Jason Ong berkata, gesaan untuk menggunakan Bahasa Inggeris tidak akan mengancam atau menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Pulau Pinang patut mengisytiharkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua dan Bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga pada masa akan datang, kata seorang ADUN PKR.

ADUN Kebun Bunga Jason Ong berkata, penduduk Pulau Pinang sangat mahir berbahasa Inggeris dan penjawat awam di negeri itu tidak sepatutnya dihukum kerana menggunakannya.

Komennya menyusuli tindakan Premier Sarawak Abang Johari Openg mempertahankan keputusan kerajaan negeri untuk terus menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi seiring Bahasa Melayu, yang menurutnya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ong dalam kenyataan berkata, gesaan untuk menggunakan Bahasa Inggeris tidak akan mengancam atau menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, kepentingan Bahasa Inggeris harus diakui.

“Bahasa Inggeris digunakan di peringkat antarabangsa dan penting untuk kerajaan Pulau Pinang mengiktiraf perkara ini secara rasmi,” katanya.

“Kemasukan beberapa pelajar cemerlang Pulau Pinang ke universiti bertaraf dunia baru-baru ini menjadi bukti bahawa Bahasa Inggeris perlu diberi pengiktirafan sewajarnya dalam masyarakat kita, lebih-lebih lagi Pulau Pinang pernah menjadi Negeri-negeri Selat.”

Bulan lepas, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang tidak mengambil serius arahan memperkasakan bahasa kebangsaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.