Lebih 12 juta pengembara direkodkan di BSI, KSAB sejak sempadan dibuka

Lebih 12 juta pengembara direkodkan di BSI, KSAB sejak sempadan dibuka

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaporkan 6.3 juta warganegara dan 2.3 juta warga asing menggunakan laluan CIQ BSI, 2.7 juta warganegara dan 704,000 warga asing melalui CIQ KSAB.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, statistik purata masuk dan keluar warganegara Malaysia dan pengembara di CIQ BSI adalah 138,000 orang sehari manakala di CIQ KSAB, 28,000 orang. (Gambar Bernama)
ISKANDAR PUTERI:
Lebih 12 juta pengembara direkodkan masuk dan keluar ke negeri ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, sejak pembukaan semula pintu sempadan negara pada 1 April lalu.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada jumlah itu, Jabatan Imigresen melaporkan 6.3 juta warganegara dan 2.3 juta warga asing menggunakan laluan CIQ BSI antara April dan 14 Jun manakala 2.7 juta warganegara dan 704,000 warga asing melalui CIQ KSAB bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata, statistik purata masuk dan keluar warganegara Malaysia dan pengembara di CIQ BSI adalah 138,000 orang sehari manakala di CIQ KSAB pula 28,000 orang sejak pembukaan sempadan.

“Statistik mod penggunaan kenderaan di CIQ BSI bagi tempoh yang sama merekodkan sebanyak 42.9% menggunakan bas, 15.2% bagi kereta, 38.1% bagi motosikal dan 3.7% bagi lori untuk kemasukan warganegara, manakala bagi bukan warganegara 38.6% adalah bas, 54.7% kereta, 6.6% motosikal dan 0.1% lori.

“Bagi tempoh yang sama, di CIQ KSAB, sebanyak 6.2% menggunakan bas, kereta (23.3%), motosikal (61%) dan lori (9.6%) untuk warganegara, manakala bagi bukan warganegara, 9.5% bagi bas, kereta (78.3%), motosikal (12.2%) dan 0.01% bagi lori,” kata Onn Hafiz (BN-Machap).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri telah berbincang dengan semua agensi berhubung peningkatan mendadak bilangan keluar masuk pengguna di kedua-dua tempat itu termasuk menambah tenaga kerja serta kapasiti anggota di kedua-dua CIQ tersebut.

Menurutnya, secara keseluruhan, 284 kaunter keluar dan masuk beroperasi di CIQ BSI dan 169 kaunter lagi di CIQ KSAB.

“Ketika ini, di CIQ BSI, 38 kaunter laluan kereta dan 50 kaunter laluan motosikal keluar masuk disediakan dan 12 kaunter kenderaan berat dan 42 kaunter automatik dan manual beroperasi bagi perkhidmatan bas.

“Di CIQ KSAB pula, terdapat 24 kaunter laluan kereta dan 25 kaunter motosikal keluar masuk disediakan manakala 26 kaunter bas dan 3 kaunter lori disediakan.

“Bagi kedua-dua pintu masuk itu, JIM menugaskan 1,631 anggota diikuti 722 kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, 87 orang daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 206 anggota polis,” katanya.

Onn Hafiz juga berkata, beberapa inisiatif akan dilakukan oleh kerajaan negeri dengan sokongan pelbagai agensi peringkat negeri dan persekutuan bagi mengatasi isu peningkatan aliran keluar masuk di kedua-kedua tempat tersebut.

Beliau berkata, lorong motosikal bakal ditambah kepada 75 lorong daripada 50 lorong sekarang, setiap satu berserta kaunter hybrid, iaitu untuk motor manual dan Mbike manakala di lorong kereta pula, kerajaan akan laksanakan sistem ‘Single Loading Double Capacity’ bagi menjimatkan masa pemandu di kaunter.

“Selain itu, penggabungan kemudahan Touch ‘n Go di kaunter imigresen bagi laluan kereta sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Februari 2023.

“Dalam perancangan ialah membenarkan kenderaan ringan menggunakan laluan lori sebagai laluan kontra semasa waktu kesesakan dan ini turut melibatkan pengubahsuaian kaunter untuk kemudahan pemandu kereta.

“Pemasangan papan tanda yang menyatakan ketersediaan kaunter imigresen untuk pemeriksaan. Ini sekali gus membantu menyuraikan trafik,” katanya.

Onn Hafiz menjawab soalan lisan Chen Kah Eng (PH-Stulang) berhubung keadaan sempadan Malaysia-Singapura termasuk bilangan aliran orang di CIQ BSI dan CIQ KSAB sejak sempadan dibuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.