Geng samun tumpas dalam insiden berbalas tembakan di Cheras, 1 maut

Geng samun tumpas dalam insiden berbalas tembakan di Cheras, 1 maut

Kumpulan samun itu juga dikaitkan dengan tiga kes pembunuhan, 15 rompakan dan beberapa kes dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim menunjukkan bom tangan yang dirampas selepas kejadian berbalas tembak di sebuah rumah di Cheras Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR:
Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun yang aktif sejak 2009 di sekitar Lembah Klang selepas tertangkapnya lapan suspek termasuk seorang wanita, pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim berkata, kumpulan itu juga dikaitkan dengan tiga kes pembunuhan, 15 rompakan dan beberapa kes dadah.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita berusia 28 hingga 67 tahun dan kesemua adalah warga tempatan.

Azmi berkata, polis menyerbu sebuah rumah di Cheras, Sabtu lalu bagi menjalankan siasatan kes rompakan bersenjata pada November.

Tembakan berlaku semasa serbuan dilakukan dan seorang lelaki berusia 40 tahun terbunuh dalam insiden itu.

Dalam serbuan itu, polis menemui sepucuk pistol dan bom tangan dalam beg suspek.

Suspek disiasat kerana terlibat dalam 26 kes jenayah sejak 2004.

“Kita berjaya menyelesaikan beberapa kes yang sedang disiasat melibatkan pembunuhan, samun dan dadah,” katanya.

“Kami akan meneruskan siasatan berdasarkan maklumat baharu yang diterima. Kami berharap dapat membuat lebih banyak tangkapan.” katanya pada sidang media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.