
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya ketika mengulas hasrat tokoh korporat, Rozali Ismail menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu mewakili generasi peneroka Felda berkata, ini terutama jika penubuhannya semata-mata bagi menyertai pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Menubuhkan parti di ambang PRU tidak akan memberikan impak besar, malah boleh mengelirukan pengundi. Selain itu sukar kerana mereka tiada masa mencukupi untuk meyakinkan pengundi bagi memenangi pilihan raya,” katanya kepada FMT.
Katanya, penubuhan parti baharu demi mewakili peneroka juga bukan jaminan nasib warga Felda menjadi lebih baik.
“Tak ada jaminan parti baharu ini menjamin nasib warga Felda akan lebih baik kerana belum pernah teruji lagi dalam mana-mana pilihan raya. Akhirnya, pengundi tradisional akan lebih selesa dengan pilihan lama dan kurang berani melakukan eksperimen politik kerana amalan budaya politik lama masih kuat.”
Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik dari Universiti Teknologi Mara, Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan, kewujudan parti baharu mewakili peneroka yang majoritinya orang Melayu mampu menguatkan parti gergasi seperti Umno dan PAS bagi memenangi kawasan dalam pilihan raya.
“Penubuhan parti mewakili kumpulan Felda boleh menyumbang kepada kekuatan parti gergasi seperti Umno dan PAS, sekiranya mereka terpilih mewakili masyarakat. Malah, ia mampu menjamin keseimbangan pentadbiran negara, sepertimana zaman BN jika mereka bersatu,” katanya.
Selain itu, penubuhan parti baharu mewakili Felda juga perlu bebas dan memperbaiki segala ketirisan dalam pentadbiran sebelum ini, termasuk dakwaan rasuah bagi meyakinkan kembali golongan peneroka.
Rozali sebelum ini menyuarakan hasrat menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka, terutama penduduk Felda.
Pengerusi eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd itu berkata, hasrat itu timbul selepas mesyuarat agung tahunan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) yang mengusulkan persatuan itu mengkaji penubuhan parti Keluarga Felda SeMalaysia yang akan menjadi suara dan naungan masyarakat peneroka.