
“Ya, saya boleh mengesahkannya. Saya telah menerima jemputan Yang di-Pertuan Agong untuk menerima watikah pelantikan sebagai duta esok,” kata Tajuddin kepada FMT.
Jawatan duta besar ke Indonesia kosong sejak Zainal Abidin Bakar, yang dilantik pada 21 Mac 2019, bersara pada 4 April 2021.
Pelantikan Tajuddin mengejutkan pelbagai pihak yang turut mengundang kritikan sesetengah pihak, termasuk Ahli Parlimen, bekas diplomat, ahli politik dan masyarakat awam.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mempertahankan pelantikan itu dengan berkata, Putrajaya “tidak boleh memuaskan hati semua orang”.
Katanya, Tajuddin adalah ahli politik berpengalaman dan pelantikannya turut diluluskan Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Sebelum ini, Tajuddin merupakan sebahagian daripada rombongan Ismail ke Indonesia untuk lawatan rasmi tiga hari pada November lalu, menyebabkan timbul spekulasi beliau akan dilantik sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu disingkirkan daripada jawatannya sebagai pengerusi Prasarana pada Mei 2021, beberapa hari selepas pelanggaran dua tren LRT.