
Katanya, pembekal yang gagal memenuhi janji liputan berdepan hukuman mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, tindakan sedemikian penting supaya pembekal dapat memberi perkhidmatan bermutu kepada pengguna.
“Pada masa sama, pengguna dapat merasai pengalaman berkualiti yang benar-benar memenuhi apa yang dijanjikan oleh perkhidmatan 4G ini,” katanya menurut laporan Bernama.
Zulkarnain berkata, pihaknya menerima arahan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk melaksanakan audit perkhidmatan jaringan sistem internet di semua kawasan di setiap negeri.
“Setakat ini, kita telah jalankan audit atau pemeriksaan dengan melihat dari segi liputan dan kelajuan. Pada masa sama, kita telah mengeluarkan arahan untuk mereka (pembekal) mengambil tindakan untuk membaiki perkhidmatan,” katanya.
Sebelum ini, kementerian berkenaan mengarahkan SKMM melaksanakan pemetaan di seluruh negara bagi mengukur tahap sebenar kelajuan internet dan membandingkannya dengan laporan syarikat telekomunikasi.