
Hujan lebat menjelang permulaan aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain minggu lalu menyebabkan padang dinaiki air dengan cepat, di mana kakitangan stadium dilihat membuang air bertakung menggunakan penyodok sampah dan kadbod, dalam video tular di media sosial.
Menyifatkan budaya pengurusan di stadium sebagai “mengarut”, Santokh yang bermain untuk pasukan kebangsaan pada 1970-an dan 1980-an, menceritakan bagaimana gergasi Sepanyol, Barcelona membatalkan aksi persahabatan di stadium sama pada 2013, selepas mendapati padang itu “tidak boleh digunakan”.
“Kita bercakap mengenai stadium negara kita, bukan stadium negeri. Kenapa ia tidak boleh diselenggara dengan betul?” katanya kepada FMT yang membandingkan sesetengah padang negeri dan kelab diselenggara dengan baik.

“Bagaimana pasukan boleh bermain bola sepak atas padang seperti itu? Mengapa pegawai stadium perlu membeli peralatan terkini? Mengapa membazir wang untuk peralatan? Saya rasa sebahagian daripada mereka (kakitangan stadium) tidak tahu mengendalikan peralatan.
“Lebih baik membeli beberapa ekor lembu dan meragut rumput di sana. Ia boleh melakukan tugas lebih baik,” katanya.
Aksi persahabatan Barcelona dan Malaysia XI anjuran sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, hampir tidak menjadi apabila kelab tersohor Sepanyol itu enggan bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas menjalani sesi latihan sehari menjelang perlawanan.
Pengurusan Barcelona memberitahu media selepas latihan itu bahawa mereka “tidak boleh menjejaskan kesejahteraan pemain kami”.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, Barcelona tidak gembira kerana bahagian padang tidak rata, dengan Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin menyifatkan insiden itu “memalukan reputasi negara”.
Perlawanan itu akhirnya diadakan di Stadium Shah Alam.
Salah urus, kekurangan ‘orang tepat’
Setiausaha Kehormat Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri & Kebangsaan Malaysia, Thomas Samuel berkata, insiden minggu lalu hanyalah babak terbaharu dalam “kisah pengurusan lemah yang tidak berkesudahan” di negara ini.
Walaupun profesional dan individu berkebolehan diambil untuk mengisi peranan tertentu, campur tangan eksekutif yang tidak mempunyai latar belakang sukan menyebabkan pembangunan sukan yang lemah dan kurangnya perhatian diberikan terhadap penyelenggaraan kemudahan.
“Di Malaysia, anda membayar sejumlah besar wang untuk mengambil seorang profesional, walaupun sebelum dia mencapai keputusan diingini. Tambahan, terdapat campur tangan oleh ‘siapa-siapa’ atas kepentingan atau ego mereka sendiri,” kata Samuel.