
Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, sebelum berita palsu itu tersebar, beliau masih bersama Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menyertai program dan sidang media di Johor.
“Berhentilah mengadu domba dengan propaganda murahan untuk melemahkan Bersatu.Terima kasih di atas respons dan keyakinan Muhyiddin berkaitan isu ini.
“Serangan berita palsu seperti ini jelas menunjukkan ada pihak tertentu yang ketandusan isu cuba untuk memberikan tekanan dengan memberi persepsi negatif yang kononnya boleh melemahkan Bersatu,” katanya dalam kenyataan.
Jumaat lalu, Azmin yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menafikan beliau akan mengikut jejak Zuraida Kamaruddin meninggalkan parti itu.
Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu turut berikrar akan terus bersama parti itu bagi mencapai cita-cita menubuhkan kerajaan bersih dan mengamalkan urus tadbir baik.
Zuraida dan Azmin menyertai Bersatu selepas dipecat PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020.
Tetapi, Zuraida meninggalkan Bersatu akhir bulan lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia yang baru ditubuhkan.
Sejak hari pertama menyertai Bersatu, Rashid berkata, beliau cukup yakin dengan masa depan parti itu dan akan terus bersamanya dalam menyatupadukan rakyat serta membina kekuatan dalam merealisasikan matlamat Bersatu.
“Dua tahun telah berlalu, kita diuji dengan pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik tanah air. Alhamdulillah sejak awal menyertai Bersatu, saya mempunyai keyakinan yang tinggi ke atas komitmen parti dalam usaha menentang rasuah dan membela rakyat.
“Ini dibuktikan oleh kepimpinan utama Bersatu di era Muhyiddin memikul tanggungjawab sebagai perdana menteri kelapan sepanjang krisis melanda negara,” katanya.