‘Waspada’ apa saja kata Azmin, Fahmi beri amaran

‘Waspada’ apa saja kata Azmin, Fahmi beri amaran

Pengarah komunikasi PKR berkata jika benar berlaku pertemuan Azmin Ali dengan beberapa pimpinan PKR seperti didakwa, parti perlu sentiasa mengambil sikap berwaspada.

Azmin Ali dilapor mengadakan pertemuan dengan beberapa pimpinan PKR baru-baru ini di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
PETALING JAYA:
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata beliau tidak tahu berhubung dakwaan pertemuan Azmin Ali dengan beberapa pimpinan tertinggi parti, Rabu lalu.

“Saya tidak tahu sama ada pertemuan itu benar-benar berlaku atau tidak,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, jika ia benar berlaku pemimpin PKR perlu “berwaspada” terhadap apa saja dikatakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

“Azmin kata beliau akan kekal bersama Bersatu, namun beliau juga bercakap perkara sama (kekal bersama) dengan PKR juga,” kata Fahmi merujuk kepada bekas timbalan presiden PKR itu.

Fahmi berkata demikian sebagai mengulas laporan Azmin mengadakan perbincangan dengan wakil PKR, pada Rabu di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber, pertemuan antara Azmin dan wakil PKR itu didakwa membabitkan dakwaan Ahli Parlimen daripada parti itu yang setia bersama Azmin. Mereka juga memberi petunjuk bahawa Azmin sedang “meninjau untuk membeli insurans” demi kelangsungan politiknya.

Perkara itu timbul susulan penafian Azmin, baru-baru ini, berhubung khabar angin akan mengikut jejak Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu, selain menyatakan keyakinannya terhadap prinsip dan idea dibawa Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin.

Azmin berkata, beliau akan berterusan bekerjasama rapat dengan ahli parti dan menghargai Muhyiddin kerana mempertahankannya dalam menafikan khabar angin akan keluar parti.

Pada Selasa, Muhyiddin menafikan dakwaan Azmin dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon, akan mengikut jejak Zuraida meninggalkan Bersatu, dengan menegaskan spekulasi itu sebagai tidak benar.

Pada 26 Mei, Zuraida, sekutu rapat kepada Azmin, keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Beliau dan Azmin menyertai Bersatu selepas dipecat PKR susulan Langkah Sheraton, pada 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.