Shabudin tak tanding PRU15, beri peluang calon muda

Shabudin tak tanding PRU15, beri peluang calon muda

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya berkata beliau tetap akan menggunakan pengalaman sebagai ahli politik untuk membantu Bersatu negeri.

Shabudin Yahaya berkata beliau tetap akan menggunakan pengalaman sebagai ahli politik untuk membantu Bersatu negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana ingin memberi laluan kepada calon muda di kerusi itu.

Beliau yang juga bekas ketua Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang berkata, pada masa ini berlaku perubahan pada pola politik di mana sesebuah parti perlu memberi peluang kepada generasi muda untuk memimpin parti.

“Bagi saya, pemimpin yang berusia lebih 55 tahun sepatutnya bersara (dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk fizikal), saya sekarang berusia 57 tahun, orang kata dalam politik masih muda.

“Tetapi selepas usia 55, produktiviti kita sudah menurun, jadi beri peluang kepada pelapis muda kerana mereka punya lebih tenaga dan mempunyai buah fikiran yang lebih segar,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Katanya, walaupun tidak bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, beliau tetap akan menggunakan pengalaman sebagai ahli politik untuk membantu Bersatu negeri.

“Saya bercadang bersara daripada jawatan politik tetapi masih bergiat dalam politik cuma tidak lagi menjadi wakil rakyat.

“Saya sudah empat penggal, orang kata ‘just nice’ (sedang elok) untuk beri laluan kepada pucuk muda, orang muda lebih energetik (bertenaga) dan keputusan ini juga boleh memberi orang muda lebih peluang dalam politik,” katanya.

Shabudin sebelum ini adalah ADUN Permatang Berangan sebagai wakil rakyat Umno dua penggal bermula 2004 hingga 2008 dan kemudian bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor atas tiket Umno pada PRU13 dan PRU14.

Namun, beliau mengumumkan keluar Umno pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.