Mengapa halau petani di tengah krisis makanan, tanya ketua PSM

Mengapa halau petani di tengah krisis makanan, tanya ketua PSM

Dr Jeyakumar Devaraj berkata, petani yang terjejas itu telah menyumbang kepada keselamatan makanan selama berdekad, malah sebelum negara merdeka lagi.

Dr Jeyakumar Devaraj bersama petani dari Changkat Kinding bersedia menyerahkan memorandum kepada menteri besar Perak pada Mei. (Gambar Sosialist.net)
GEORGE TOWN:
Seorang aktivis mengecam tindakan menghalau petani dari kawasan lembah di Perak yang menghasilkan paling banyak sayur di negeri itu dan mungkin di negara ini yang disifatkannya malang di saat negara berdepan isu kekurangan makanan.

Ketua Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Jeyakumar Devaraj berkata, petani yang terjejas itu telah menyumbang kepada keselamatan makanan selama berdekad, malah sebelum negara merdeka lagi.

Kerajaan Perak mengusir petani yang menduduki tanah bukan milik mereka dan menawarkan tanah bukit sebagai pengganti, tetapi ditolak kumpulan itu kerana dikatakan tidak sesuai.

Jeyakumar berkata, petani itu mula mengusahakan tanaman sejak zaman penjajahan dan tidak pernah dihalau, serta diteruskan atas desakan kerajaan.

Katanya, kerajaan pimpinan Razak Hussein pada 1970-an menggalakkan rakyat bertani di mana-mana tanah kosong sebagai sebahagian daripada Rancangan Buku Hijau untuk meningkatkan bekalan makanan dalam negara.

“Pejabat tanah diarahkan membantu petani bercucuk tanam di tanah kosong. Kini, terdapat tuduhan petani ini bukan pemilik tanah dan penceroboh, yang kita anggap mengarut,” katanya kepada FMT.

Jeyakumar berkata, penanaman sayur-sayuran hanya merangkumi 5% daripada lapan juta hektar tanah pertanian.

Hanya 700,000 hektar digunakan untuk tanaman padi, manakala 800,000 hektar untuk tanaman sayuran lain, termasuk lada, koko, kelapa dan ternakan ikan air tawar. Sebahagian besar tanah pertanian – 80% atau 5.5 juta hektar – digunakan untuk kelapa sawit.

“Namun, kita ada pemaju dan kerajaan negeri yang mengambil 5% daripada tanah berharga ini. Isu di sini bukan mengenai petani, ia adalah keadaan keselamatan makanan negara kita. Jika rampasan tanah terus berlaku, bagaimana kita mahu mencapai kapasiti untuk menghasilkan sayur-sayuran bagi diri kita?” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan patut menyediakan pajakan 10 hingga 20 tahun kepada petani kecil, dengan syarat ia dibatalkan dan diberikan kepada orang lain, jika tanah itu tidak diusahakan sekurang-kurangnya dua tahun.

“Harus ada mekanisme semak dan imbang untuk memastikan petani miskin tidak dihalau secara tidak adil,” katanya.

Permintaan terhadap sayur-sayuran meningkat sebanyak 20% pada 2020 berbanding 2010 dengan penggunaan sayur-sayuran pada 65.1kg per kapita pada 2020 berbanding 54.7kg pada 2010, menurut perangkaan kerajaan.

Bagaimanapun, penggunaan beras merosot 4% kepada 76.5kg per kapita dua tahun lalu dan penggunaan buah menurun sebanyak 17% kepada 78kg.

Chemor di daerah Kinta menghasilkan sayur-sayuran paling banyak di Perak, iaitu hampir 95,000 metrik tan yang bernilai hampir RM200 juta pada 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.