
Chai Aan berkata, kedua-dua kerusi berkenaan merupakan kawasan tradisi MCA sejak sekian lama.
Katanya, bagaimanapun sehingga kini tiada satu keputusan tetap yang diputuskan kerana keputusan pembahagian kerusi pilihan raya akan dibincangkan di peringkat pusat.
“Berapa kerusi (untuk ditandingi) akan dibincangkan oleh MCA pusat dan kita tidak ada satu keputusan tetap di sini. Pembahagian itu juga akan diputuskan dalam mesyuarat antara parti komponen Barisan Nasional (BN).
“Namun , saya selaku ketua MCA Perlis akan terus mempertahankan kerusi tradisi MCA, iaitu Indera Kayangan dan Titi Tinggi yang sudah ditandingi sejak bertahun dahulu,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Chai Aan yang juga ADUN Titi Tinggi berkata, walaupun terdapat ura-ura Umno Perlis mahu bertanding di kerusi dimenangi MCA pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), perkara berkenaan belum lagi muktamad.
“Bukan hanya Umno yang berhasrat bertanding di kerusi Titi Tinggi, semua parti juga hendak bertanding di DUN itu. Ini akan dibawa berbincang dalam mesyuarat antara parti nanti.
“Apa pun saya akan tetap mempertahankan dua kerusi yang ditandingi MCA Perlis sebelum ini,” katanya.
Pada PRU14, daripada dua kerusi DUN itu, hanya DUN Titi Tinggi berjaya dimenangi MCA, manakala Indera Kayangan terus dikuasai PKR menerusi Gan Ay Ling.