
Menyifatkan sektor tersebut sebagai “lautan merah”, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, sudah wujud ramai pemain dalam industri itu dan harga ayam pula kekal rendah selama puluhan tahun.
“Rakyat berkehendakkan harga ayam rendah, maka kawalan harga oleh kerajaan selalunya menyebabkan kerugian kepada para penternak,” kata Sim dalam kenyataan.
Selain itu, bekalan domestik kini mencecah 105% Kadar Sara Diri dan ini mengakibatkan tidak wujud pasaran baharu, katanya.

Pada 14 Jun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Nafas dan Angkasa akan lebih proaktif dalam ekosistem ternakan ayam dan penanaman jagung bijirin bagi menstabilkan bekalan dan harga ayam di pasaran.
Katanya, Nafas menyasarkan untuk menguasai 20% pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor setahun.
Sim, yang juga jurucakap Parlimen PKR bagi pertanian dan komoditi berkata, sebagai dua pertubuhan koperasi terbesar negara, Nafas dan Angkasa akan menggunakan ratusan juta wang caruman dan ahlinya mengharapkan pulangan lumayan daripada pelaburan itu.
“Kemasukan Nafas dan Angkasa tidak semestinya membawa keuntungan yang dijangkakan, malah mungkin menghadapi kerugian,” katanya.
“Maka saya ingin menasihati Nafas dan Angkasa agar membuat kajian secara terperinci terlebih dahulu demi kepentingan jutaan ahli mereka.”
Sementara itu, Nafas dikatakan telah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu, yang sebelum ini ditanam dengan tembakau, bagi tanaman jagung bijirin.
Angkasa pula mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Mengulas perkara itu, Sim berkata, koperasi berkenaan mungkin akan mendapat pelbagai kemudahan lain daripada kerajaan seperti subsidi, geran dan faedah pinjaman rendah, namun ini dijangka akan menjejaskan petani kecil.
“Mereka (petani kecil) mungkin akan tutup kedai kerana tidak berupaya untuk bersaing,” katanya.
“Penternak harus dilihat sebagai benteng sekuriti makanan negara. Kita harus menjaga mereka,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan semula penglibatan kedua-dua koperasi tersebut dalam industri penternakan ayam.
“Ada banyak lagi sektor pertanian yang memerlukan perhatian kerajaan. Antaranya tanaman padi (SSR 70%), penternakan ruminan (SSR 20%), lembu tenusu (SSR 50%) sektor penanaman sayur-sayuran (SSR 60%), akuakultur dan banyak lagi.
“Penglibatan Nafas dan Angkasa (dalam industri tersebut) sangat dialu-alukan. Ia akan membantu mengurangkan kebergantungan import makanan dari luar negara,” katanya.