Pemuda DAP bimbang percanggahan Perlembagaan berkait Undi18 di Johor

Pemuda DAP bimbang percanggahan Perlembagaan berkait Undi18 di Johor

Dilaporkan, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak memberi perkenan mengenai pindaan enakmen negeri untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Pemuda DAP Johor meminta ketua pembangkang negeri, Liew Chin Tong, membangkitkan perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemuda DAP Johor menyatakan kebimbangan bahawa negeri itu melakukan tindakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berikutan laporan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri membenarkan mereka berumur 18 tahun bertanding pilihan raya, tidak mendapat perkenan Diraja.

Sayap pemuda itu berharap, ketua pembangkang negeri, Liew Chin Tong, membangkitkan perkara itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), susulan laporan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, merasakan umur yang lebih rendah sebagai calon bertanding sebagai tidak wajar.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan pada 2019, menurunkan umur pengundi dan umur kelayakan bertanding dalam pilihan raya. DUN Johor juga meluluskan pindaan sama dalam undang-undang tubuhnya.

Bagaimanapun, semalam dilaporkan Sultan Ibrahim tidak memberi perkenan mengenai pindaan enakmen negeri untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Sultan Ibrahim bertitah cadangan mengurangkan umur minimum “tidak selari dengan hala tuju kerajaan yang mahukan pemimpin berkualiti tinggi dan berpengetahuan”.

Pemuda DAP Johor dalam satu kenyataan, hari ini, berkata: “Kami berharap agar perkara ini mendapat perhatian kerana ini telah menimbulkan kebimbangan percanggahan antara Fasal 16, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dengan pindaan Perlembagaan di peringkat Persekutuan.”

Mereka berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan, undang-undang persekutuan diutamakan apabila undang-undang negeri bertentangan dengannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.