Pejuang kanser Haris Ibrahim hadir beri semangat di perarakan peguam

Pejuang kanser Haris Ibrahim hadir beri semangat di perarakan peguam

Pengasas gerakan Anything But Umno itu berkata, menjadi 'kewajipan' bagi peguam untuk berarak demi kebebasan kehakiman.

Peguam yang hadir pada perarakan di Padang Merbok mengambil gambar bersama Haris Ibrahim (berkerusi roda).
KUALA LUMPUR:
Kemunculan mengejutkan aktivis veteran Haris Ibrahim yang kini sedang berjuang melawan kanser membangkitkan semangat ramai peguam yang berkumpul di Padang Merbok untuk perarakan “demi kebebasan kehakiman” anjuran Badan Peguam Malaysia pagi ini.

Para peguam yang hadir mengerumuni Haris yang berkerusi roda untuk mengucapkan terima kasih atas kehadirannya dan mengambil gambar bersamanya.

Pengasas gerakan Anything But Umno (ABU) itu, yang riang berbual dengan hadirin, memberitahu wartawan bahawa adalah penting untuk beliau turut sama hadir.

Menjadi “kewajipan” bagi peguam untuk berarak demi kebebasan kehakiman, tambahnya.

“Penting untuk mempertahankan kehakiman, tiang ketiga demokrasi. Inilah sebabnya saya hadir untuk tunjuk sokongan (kepada para peguam lain).”

Namun katanya, beliau perlu berhati-hati supaya tidak dijangkiti wabak Covid-19.

“Saya hanya ada sebelah paru-paru,” katanya berseloroh.

Perarakan tersebut, yang sepatutnya bermula di Padang Merbok dan berakhir di bangunan Parlimen, dibatalkan selepas rundingan antara Badan Peguam dan polis gagal.

Polis membenarkan hanya 20 peguam berarak ke bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan, namun ini ditolak oleh Badan Peguam.

Para peguam cuba meneruskan perarakan tetapi gagal menembusi barisan anggota polis di kedua-dua hujung tempat letak kenderaan Padang Merbok.

Susulan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Mas Ermieyati Samsudin tiba di Padang Merbok untuk menerima memorandum daripada Presiden Badan Peguam Karen Cheah.

Sementara itu, aktivis Ambiga Sreenevasan berkata, beliau terkejut dengan cara polis menghalang kumpulan peguam yang berkumpul di Padang Merbok daripada berarak.

“Kami mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan aman,” katanya kepada FMT.

Beliau juga tidak yakin sama ada Mas Ermieyati akan memanjangkan memorandum diterimanya ke peringkat yang sepatutnya.

“Kami pun tidak tahu sama ada beliau akan membawa memorandum ke Parlimen seperti yang dijanjinya tadi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.