
Gerakan Ayuh Malaysia yang diasaskan oleh bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata, kesemua 70,455 calon yang sama ada tidak hadir peperiksaan atau tidak layak mendapatkan sijil ini dikategorikan sebagai cicir SPM, bermakna mereka tidak boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.
“Selain daripada pengumuman mengenai 1,655 calon yang mencatatkan markah semua G, juga terdapat trend yang membimbangkan, iaitu seramai 24,941 atau 6.2% calon yang mendaftar tidak menduduki peperiksaan SPM.
“Dalam masa sama, seramai 45,514 atau 11.91% calon pula tidak layak mendapat sijil sama ada kerana tidak lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah,” kata NGO itu dalam kenyataan.
Semalam Ketua Pengarah Pendidikan Nur Zamani Abdol Hamid dalam sidang media sempena pengumuman keputusan SPM 2021 berkata, sejumlah 24,941 calon SPM tidak menduduki peperiksaan itu daripada 407,097 calon berdaftar di 3,382 pusat peperiksaan.
Sementara itu, daripada 382,156 calon yang menduduki peperiksaan, sejumlah 1,655 calon atau 0.43% gagal dalam semua mata pelajaran.
Mengikuti perkembangan itu, Ayuh Malaysia mendesak KPM menjelaskan demografi pelajar cicir dan pecahan calon yang tergolong sebagai kumpulan miskin B40 dan yang berada di kawasan pedalaman.
Mereka juga mempersoalkan sama ada trend keputusan SPM 2021 menunjukkan kegagalan pembelajaran dalam talian bagi golongan rentan berkenaan.
“Apakah langkah awal yang diambil oleh KPM sebelum ini untuk mengatasi keciciran dalam angka yang besar seperti ini?” soal NGO itu.
“Apakah nasib 45,514 calon yang tidak layak mendapatkan sijil ini dan apakah langkah yang telah diatur oleh KPM untuk membantu mereka?”