
Baginda mahu kerajaan negeri bergerak tanpa kepentingan politik dan bantuan oleh kerajaan juga perlu dibuat melalui jabatan kerajaan, pejabat daerah, penghulu dan ketua kampung.
“(Ini) supaya ia tidak berbau politik,” titah baginda di Facebook.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat pada majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-15.
Sultan Ibrahim juga bertitah, pelantikan ketua kampung tidak perlu dikaitkan dengan mana-mana parti politik.
Titahnya, pelantikan ahli majlis tempatan juga perlu dibuat secara teliti dengan mengambil kira taraf pendidikan, kepakaran dan pengalaman kerja, bukan mengikut jawatan parti politik.
“Tugas mereka adalah untuk memberikan pandangan sahaja, bukan untuk mengaut kontrak kerja,” titah baginda.
Dalam perkembangan lain, baginda menggesa kerajaan persekutuan memberikan peruntukan lebih banyak kepada Johor kerana setiap tahun hampir RM13 bilion hasil persekutuan dikutip dari negeri itu.
Baginda menzahirkan kekecewaan dengan keadaan bangunan persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.
“Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktirikan, walhal Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara.
“Saya menyeru kerajaan persekutuan segera tunaikan janji untuk menaik taraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru menjadi empat lorong sepenuhnya.
“Lihatlah juga keadaan jalan-jalan persekutuan yang rosak dan berlubang, contohnya jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.