Rakyat Malaysia mungkin ‘ok’ dengan rasuah jika dapat manfaat, kata Loke

Rakyat Malaysia mungkin ‘ok’ dengan rasuah jika dapat manfaat, kata Loke

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook memberi amaran, sikap sedemikian akan memusnahkan negara.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata tekanan orang awam mesti dikenakan terhadap ahli politik untuk mengisytiharkan aset mereka.
PETALING JAYA:
Orang ramai cenderung untuk bertolak ansur dengan rasuah sekiranya mereka turut mendapat manfaat daripadanya, kata seorang bekas menteri.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook memberi amaran, sikap sedemikian akan memusnahkan negara.

Loke berkata perlu ada keinginan orang ramai selain kemahuan politik yang kuat untuk membendung amalan rasuah.

“Tetapi jika rakyat berasa ‘ia ok jika dia korup kerana saya dapat bahagian saya dan membantu saya’, jadi saya rasa ini akan menyebabkan negara menjadi hancur,” katanya dalam temubual yang disiarkan dalam talian, semalam.

Dalam perkembangan lain, Loke yang juga bekas menteri pengangkutan berkata pegawai tertinggi kerajaan yang mempunyai banyak aset pastinya keberatan untuk mengisytiharkan harta mereka.

Beliau mengulas mengenai 15 individu yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan belum mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.

Pagi semalam, veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa enam individu yang diberikan jawatan bertaraf menteri seperti penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia kepada perdana menteri, duta khas perdana menteri serta Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Muhyiddin Yassin, belum berbuat demikian.

Loke berkata, mereka dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk ahli Parlimen telah mematuhi keperluan untuk mengisytiharkan harta mereka sepanjang tempoh 22 bulan pemerintahan gabungan itu.

Katanya, tekanan orang awam perlu dikenakan terhadap ahli politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.