Kerajaan benarkan diskriminasi, polis moral, kata kumpulan agama

Kerajaan benarkan diskriminasi, polis moral, kata kumpulan agama

Hisham Muhaimi daripada Komuniti Muslim Universal mengatakan agama tidak seharusnya disalahgunakan melakukan diskriminasi terhadap kumpulan etnik minoriti.

Skuad Badar yang beroperasi di Sungai Petani, Kedah, dikenal pasti sebagai ‘kumpulan pengawas’ yang menjadi polis kepada orang Islam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan agama kecewa dengan sikap “diskriminasi ditaja kerajaan” terhadap golongan etnik minoriti dan agama lain menerusi fatwa atau pandangan agama untuk digunakan demi menyemarak sentimen enggan bertoleransi.

Hisham Muhaimi daripada Komuniti Islam Universal, memberi contoh bagaimana amalan tidak bertoleransi itu memberi kesan kepada masyarakat Islam dengan kerajaan negeri membenarkan kemunculan “kumpulan pengawas” untuk menjadi polis kepada orang Islam.

Beliau memetik Skuad Badar yang beroperasi di Sungai Petani, Kedah sebagai contoh utama.

Skuad Badar merujuk kepada kumpulan anti-maksiat di Sungai Petani yang akan menyerbu hotel bajet dan mensasarkan pasangan yang didakwa berkhalwat.

“Kerajaan negeri seperti Kedah, telah mewujudkan persekitaran yang membolehkan amalan tidak bertoleransi berkembang.

“Ini telah membuka peluang kepada ‘kumpulan pengawas moral’ untuk mengawal orang awam sedangkan mereka tidak mempunyai hak ataupun kuasa untuk berbuat demikian,” katanya ketika majlis pelancaran projek kajian Sistem in Islam (SIS) dan Merdeka Center terhadap belia Islam di Malaysia.

Hisham juga memetik kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 2018 sebagai contoh penyalahgunaan agama secara ‘berbahaya’.

Empat tahun lalu, Hadi berkata tentang kewajiban umat Islam untuk menentang dan membantah secara terbuka jika kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Malaysia.

Hisham berkata, sistem pendidikan di Malaysia mesti dirombak semula untuk mendidik golongan muda berkenaan Perlembagaan serta hak etnik dan agama yang termaktub dalamnya.

Tambahnya, ini adalah penting untuk memastikan keharmonian kaum dan agama serta amalan toleransi dalam masyarakat.

Beliau berkata, walaupun negara berbangga dengan kepelbagaian budaya, malah termasuk meraikan kepelbagaian makanan dan perayaan, namun terus menjarakkan diri daripada isu sebenar dan konflik yang berlaku antara budaya.

Hisham mengulas tinjauan belia Islam Malaysia yang dijalankan SIS dan Merdeka Centre yang mendapati 81% daripada 1,216 responden percaya bahawa agama Islam harus diutamakan dalam urusan kehidupan harian.

Tinjauan ke atas belia Islam yang berumur 15 hingga 25 tahun di seluruh negara dijalankan pada akhir Okt 2021 sehingga Jan 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.