Hanya dengar titah Sultan, tiada perbincangan, kata PAS Selangor

Hanya dengar titah Sultan, tiada perbincangan, kata PAS Selangor

Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi menafikan ada perbincangan berhubung Bon Odori berlaku antara pihaknya dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada 8 Jun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat penganjuran festival Bon Odori serta menghalang mana-mana individu untuk menyertainya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi memaklumkan tiada sebarang perbincangan antara pihaknya dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dalam pertemuan pada Selasa lalu.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan laporan dikeluarkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris, semalam.

“Saya mengesahkan bahawa dalam majlis tersebut saya hanya mendengar titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan tidak ada sebarang perbincangan antara saya dengan Tuanku,” katanya dalam kenyataan.

Beliau dititahkan menghadap Sultan Sharafuddin dan pertemuan telah berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam kelmarin.

Istana Selangor menerusi media sosial rasmi telah memuat naik gambar pertemuan tersebut dengan menyatakan telah berlangsung selama kira-kira satu jam.

Terdahulu, akhbar berbahasa Inggeris itu melaporkan Yunus dipanggil menghadap Sultan Sharafuddin bagi membincangkan perkara berkaitan perayaan Bon Odori.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata mereka dihubungi pihak istana semalam memandangkan Sultan Sharafuddin ingin tahu apakah pendirian mereka terhadap pesta yang akan diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam pada 16 Julai ini.

“Baginda ingin tahu kedudukan kami dalam perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda.

“Kami memberitahu Tuanku kedudukan kami dan yang paling penting, kami memberitahu baginda bahawa kami, menyokong peranan istana dalam menyatukan rakyat, kami tidak mempunyai masalah antara satu sama lain,” katanya menurut laporan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.