Hakim tarik diri dengar permohonan peguam UK sertai rayuan kes Najib

Hakim tarik diri dengar permohonan peguam UK sertai rayuan kes Najib

Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, salah seorang ahli keluarga terdekatnya adalah seorang pemimpin Umno, malah beliau sendiri sebelum ini bersama parti tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, pembabitannya dalam usul Jonathan Laidlaw akan mengundang kritikan tidak perlu yang akan menjejaskan integriti badan kehakiman.
KUALA LUMPUR:
Seorang hakim Mahkamah Tinggi hari ini menarik diri daripada mendengar permohonan peguam UK Jonathan Laidlaw untuk diterima mewakili Najib Razak dalam rayuan kes SRC International di mahkamah di negara ini.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, beliau sebelum ini pernah bersama Umno dan berkhidmat sebagai senator sebelum menjadi hakim.

Tambahan lagi, salah seorang ahli keluarga terdekatnya juga adalah seorang pemimpin Umno, iaitu parti yang pernah dipimpin oleh Najib, katanya.

Ahmad Farid berkata, beliau tidak boleh terus mendengar usul permohonan Laidlaw tersebut kerana penglibatannya dan keputusan yang dibuat selepas itu “dari sudut mana pun tidak akan dilihat hanya sebagai perspektif undang-undang tanpa kecenderungan atau keutamaan luaran lain”.

“Saya akan mengundang kritikan tidak perlu yang akan menjejaskan integriti badan kehakiman,” katanya.

Sebutan bagi permohonan Laidlaw bagi kemasukan secara ad hoc pada mulanya dijadualkan hari ini.

Ahmad Farid sebelum ini bertanya sama ada pihak-pihak terbabit selesa beliau mendengar permohonan itu.

Shafee Abdullah, yang mewakili Laidlaw, memberitahu mahkamah bahawa mereka tiada sebarang keraguan, selain menambah, hakim itu tidak terlibat dalam mana-mana perkara berkaitan SRC International atau 1MDB.

Bagaimanapun, peguam V Sithambaram, yang mengetuai pendakwaan dalam kes SRC International, berkata, beliau perlu mendapatkan arahan daripada Jabatan Peguam Negara.

Peguam Badan Peguam Malaysia Bastian Vendargon dan wakil Badan Peguam Kuala Lumpur Vivekananda Sukumaran memberitahu mahkamah, mereka perlu mendapatkan arahan daripada pemegang jawatan.

Ahmad Farid kemudiannya memberitahu peguam bahawa ia adalah perkara yang perlu dielakkannya “walaupun berdepan risiko dituduh melepaskan tugas kehakiman saya”.

Beliau berkata, walaupun Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam dan wakil Laidlaw tidak membuat sebarang permintaan rasmi, beliau tidak sepatutnya mendengar petisyen untuk kemasukan ad hoc itu.

“Persepsi orang ramai terhadap kebebasan badan kehakiman tidak harus diragui. Ia bukan soal cuba-cuba.

“Badan kehakiman yang bebas adalah ‘hadiah’ berharga kepada mana-mana masyarakat. Apabila ia hilang, anarki akan berkuasa.

“Oleh itu, kebebasan badan kehakiman mesti dipertahankan dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Permohonan Laidlaw untuk kemasukan ad hoc itu kini ditetapkan di hadapan seorang lagi hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.