
Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mengambil alih kes daripada Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Terdahulu, Wan Ahmad Farid menarik diri daripada mendengar permohonan Laidlaw atas alasan beliau mempunyai ahli keluarga terdekat yang menjadi pemimpin Umno.
Katanya, beliau juga sebelum ini pernah bersama Umno dan berkhidmat sebagai senator sebelum menjadi hakim.
Mewakili Laidlaw, yang juga merupakan seorang peguam diraja (QC), Shafee Abdullah berkata, Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 hingga 26 Ogos untuk rayuan kes SRC International membabitkan Najib.
“Saya bersedia untuk (usul) ini didengar seawal 6 Julai,” kata Shafee.
Kamal kemudian bertanyakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), Badan Peguam, dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur tentang pendirian mereka mengenai petisyen Laidlaw untuk kemasukan ad hoc.
Peguam V Sithambaram, yang mengetuai pendakwaan dalam kes SRC International berkata, mereka membantah kemasukan Laidlaw dan telah memfailkan afidavit untuk menentangnya.
Bastian Vendargon dan Vivekananda Sukumaran, masing-masing mewakili Badan Peguam dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur, juga berkata, mereka mempunyai pendirian yang sama seperti Jabatan Peguam Negara.
Justeru, mahkamah mengarahkan kedua-dua badan itu memfailkan afidavit untuk membantah kemasukan Laidlaw menjelang 27 Jun.
“Penghujahan bertulis akan difailkan pada 5 Julai,” kata Kamal.
Dalam petisyennya, Laidlaw berkata, kes SRC International membabitkan “isu serius, kompleks dan baharu berkaitan beberapa cabang undang-undang jenayah dan sivil”.
“Bagi tujuan rayuan, pemohon (Laidlaw) memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di sini”.
Najib disabitkan atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun banknya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya. Dia kini diikat jamin sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.