BNM dijangka naikkan OPR sekurang-kurangnya 25 mata asas menjelang akhir tahun ini

BNM dijangka naikkan OPR sekurang-kurangnya 25 mata asas menjelang akhir tahun ini

Ia berikutan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada Rabu, menaikkan kadar dasar utamanya sebanyak 75 mata asas kepada 1.50% – 1.75% (sebelum ini 0.75% – 1%), iaitu kenaikan terbesar sejak 1994.
KUALA LUMPUR:
Bank Negara (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sekurang-kurangnya 25 mata asas (bps) menjelang akhir tahun, berikutan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Pada Rabu, Fed AS menaikkan kadar dasar utamanya sebanyak 75 mata asas kepada 1.50% – 1.75% (sebelum ini 0.75% – 1%), iaitu kenaikan terbesar sejak 1994 dalam usaha membendung inflasi tinggi yang menyaksikan Indeks Harga Pengguna bulan Mei negara itu melonjak kepada 8.6% tahun ke tahun.

Dalam laporan ekonominya hari ini, Kenanga berkata, reaksi pasaran kewangan global terhadap kenaikan kadar itu dan kesan akhirnya ke atas ekonomi akan memberikan dorongan yang lebih kuat bagi kebanyakan bank pusat untuk menyusuli langkah berkenaan.

“Bagaimanapun, ini tidak menandakan bahawa BNM akan mengikut keputusan monetari Fed itu,” tambahnya.

Bank pelaburan itu seterusnya menambah bahawa pendirian dasar BNM secara beransur-ansur menjurus ke arah mengetatkan memandangkan permintaan domestik yang bertambah baik berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan kelonggaran sekatan Covid-19 yang membawa kepada pembentukan trend inflasi yang didorong oleh permintaan.

“Oleh itu, kami percaya ini akan meningkatkan kebarangkalian BNM menaikkan OPR sekurang-kurangnya 25 mata asas pada baki tiga lagi Mesyuarat Dasar Monetarinya untuk tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.