
Langkah Nafas itu antara lain bertujuan membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada import jagung bijian yang merupakan antara bahan mentah utama dalam penghasilan makanan ternakan, sekali gus memastikan harga ayam di pasaran kekal relatif dan stabil.
Melalui pendekatan itu, Nafas mensasarkan untuk menguasai 20% pasaran ayam dengan pengeluaran 114 juta ekor setahun.
“Penglibatan Nafas dalam rantaian nilai industri ayam dilihat akan dilaksana melalui pemerkasaan rangkaian Pertubuhan Peladang (PP) bermula di peringkat induk dan seterusnya struktur pergerakan PP di tiga peringkat lain terdiri 14 PP negeri, 279 PP kawasan serta hampir sejuta ahli peladang di seluruh negara.
“Usaha ini dalam masa sama dilihat dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang baharu dan dapat meningkatkan aktiviti ekonomi di sekitar kawasan yang terlibat sekali gus meningkatkan hasil pendapatan bagi penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nafas lagi, negara ketika ini mengimport hampir 100% jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).
Katanya, menerusi rangkaian PP dan sokongan pelbagai pihak berkepentingan, usaha bagi merealisasikan projek tanaman jagung bijian bagi makanan ternakan dapat dilaksanakan.
“Usaha Nafas yang berskala besar ini diyakini dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung bijian yang sangat tinggi bagi kegunaan penghasilan makanan ternakan dan seterusnya dapat menstabilkan harga pasaran ayam,” katanya.