Laporan audit forensik pemilihan PKR dijangka dibentang Ahad ini

Laporan audit forensik pemilihan PKR dijangka dibentang Ahad ini

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Dr Zaliha Mustafa berkata, pasukan pakar digital masih dalam proses menyiapkan laporan itu.

Jawatankuasa Pemilihan Parti dilaporkan menerima lebih 2,000 aduan sepanjang Pemilihan PKR 2022 berlangsung, termasuk ketika pencalonan, pengundian dan keputusan tidak rasmi diumumkan 29 Mei lalu.
PETALING JAYA:
Pasukan pakar digital dijangka membentang laporan audit forensik pemilihan PKR kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Ahad ini.

Pengerusi JPP, Dr Zaliha Mustafa berkata, pasukan yang dilantik itu kini dalam proses menyiapkan laporan berkenaan.

“Selepas kita berpuas hati dengan laporan itu, baru kita kemukakan kepada setiausaha agung bagi membolehkan senarai pemenang Pemilihan PKR 2022 di peringkat pimpinan bahagian, Wanita bahagian dan Pemuda bahagian serta di peringkat pusat diserahkan kepada pejabat setiausaha agung parti,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pada 10 Jun lalu, Zaliha dilaporkan berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk memuktamadkan keputusan pemilihan parti sebelum dibentangkan pada Kongres Nasional PKR.

Susulan itu, PKR menangguhkan Kongres Nasional yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Jun ini kepada 15 hingga 17 Julai nanti.

Zaliha berkata, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail memerlukan keputusan pemilihan bagi membolehkannya mengedarkan surat jemputan untuk menghadiri Kongres Nasional.

Difahamkan, pejabat setiausaha agung memerlukan notis dua minggu atau 14 hari untuk memanggil kongres parti itu.

Sebelum ini, JPP dilaporkan menerima lebih 2,000 aduan sepanjang Pemilihan PKR 2022 berlangsung, termasuk ketika pencalonan, pengundian dan keputusan tidak rasmi diumumkan 29 Mei lalu.

Zaliha bagaimanapun berkata, aduan berkaitan pemilihan ditutup pada 3 Jun lalu.

“Kita tetapkan tarikh penutupan aduan supaya tidak timbul pertindihan siasatan,” katanya dengan menambah bahawa ahli yang masih ingin mengemukakan aduan boleh berbuat demikian, tetapi aduan mereka tidak diambil kira dalam siasatan yang sedang dijalankan oleh JPP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.