
Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan, Siti Zauyah Mohd Desa berkata, kerajaan bertindak sebagai penjamin bagi pinjaman berkenaan.
“Perdana menteri menandatangani surat sokongan pada 2013 untuk pinjaman ini. 1MDB gagal membayar balik USD3 bilion ini seperti dinyatakan di bawah terma pinjaman,” katanya.
Mahkamah mendengar bahawa 1MDB menjalin usaha sama dengan Aabar Investment PJS pada 2012 untuk membangunkan TRX. Goldman Sachs membantu 1MDB mengumpul USD3 bilion menerusi terbitan bon.
Pendakwaan berpendapat sebahagian daripada USD3 bilion atau sebanyak USD681 juta dipindahkan ke akaun bank Najib antara 21 Mac dan 10 April 2013.
Siti Zauyah memberitahu mahkamah bahawa 1MDB tidak pernah menyerahkan sebarang laporan mengenai usaha samanya dengan Aabar mengenai TRX kepada unit Kementerian Kewangan, Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).
“Mana-mana syarikat milik kerajaan yang ingin mengadakan usaha sama dengan entiti asing lain perlu menghantar laporan kepada MoF In supaya kita boleh membentangkannya kepada menteri kewangan (Najib) dan untuk beliau mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri.
“Bagi 1MDB, saya tidak pasti sama ada ia menerima ‘kelulusan khas’ daripada menteri kewangan mengenai TRX.”
Katanya, tiada wakil kerajaan dilantik sebagai pengarah 1MDB, biarpun syarikat itu adalah sebahagian daripada MoF Inc.
“Menteri kewangan tidak pernah terlibat secara langsung dalam syarikat MoF Inc lain, tidak seperti 1MDB.
“Beliau melantik dirinya sebagai pengerusi Lembaga Penasihat. Ini tidak berlaku dalam syarikat milik kerajaan yang lain,” katanya.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Pendengaran di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah bersambung.