Individu tak boleh didakwa kerana gagal jelaskan wang dalam bank, kata peguam

Individu tak boleh didakwa kerana gagal jelaskan wang dalam bank, kata peguam

Peguam berkata Akta Kesalahan Kecil tidak terpakai untuk transaksi perbankan kerana seseorang itu tidak memiliki harta.

Sepuluh lelaki didakwa di mahkamah kerana tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana memperoleh sejumlah wang milik seorang guru. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang peguam mendakwa bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap 10 lelaki kerana gagal memberikan penjelasan mengenai bagaimana RM3.14 juta milik seorang guru ditemui dalam akaun bank mereka adalah cacat.

T Gunaseelan berkata, dua tahun lalu, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang memutuskan bahawa mendakwa mana-mana individu di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil atas wang ditemui dalam akaun bank yang tidak boleh dipertanggungjawabkan adalah tidak baik di sisi undang-undang.

Katanya, Akta Kesalahan Kecil tidak terpakai untuk transaksi perbankan kerana seseorang itu tidak memiliki harta.

Gunaseelan berkata, 10 lelaki itu patut memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Majistret Ampang pada 10 Jun.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu kini menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Lelaki terbabit yang berusia antara 29 dan 51 tahun didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh mahkamah.

Mereka didakwa tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan bagaimana memperoleh sejumlah wang milik guru berusia 31 tahun itu.

Mereka didakwa mengikut Akta Kesalahan Kecil yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa guru terbabit memberikan maklumat perbankannya kepada seorang lelaki yang menghubunginya dan memperkenalkan diri sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.