
Majlis Presiden PH dalam kenyataan berkata tindakan tegas itu perlu dilaksanakan segera selain meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bawah bidang kuasa Parlimen.
“Terbaharu adalah keterangan mahkamah Mohd Sidek Hassan, bekas ketua setiausaha negara merangkap ahli lembaga penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Berdasarkan laporan media, beliau menerima bayaran sehingga sebanyak RM30,000 sebulan walaupun tiada sebarang mesyuarat lembaga penasihat 1MDB diadakan.
“Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana pada ketika beliau menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB, beliau masih memegang jawatan berkenaan,” katanya.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook; dan Presiden Upko, Madius Tangau.
Sebelum ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan RUU Sumbangan Politik.
Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Jemaah Menteri sebelum sesi libat urus dengan parti politik.
Selain itu, Majlis Presiden turut merujuk keterangan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) di Mahkamah Tinggi terhadap Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.
Dalam keterangannya, bekas pengarah UKSB itu memberitahu, Zahid telah menerima antara SGD200,000 hingga SGD520,000 sebulan manakala Khairy melalui Umno Bahagian Rembau menerima antara RM50,000 hingga RM200,000.
“Kedua-dua kes ini amat merisaukan, bukan hanya kerana ia melibatkan tokoh-tokoh politik besar tetapi juga tokoh utama perkhidmatan awam. Majlis Presiden PH mengulangi komitmen untuk memerangi rasuah,” katanya.