Penantian 42 tahun berakhir, Harimau Malaya layak ke Piala Asia

Penantian 42 tahun berakhir, Harimau Malaya layak ke Piala Asia

Skuad bimbingan Kim Pan Gon membelasah Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir sekali gus muncul naib juara kumpulan E.

Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. (Gambar FAM)
PETALING JAYA:
Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian selama 42 tahun untuk mengesahkan tempat ke Piala Asia 2023 secara merit selepas membelasah Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Selaku naib juara kumpulan E dengan mengumpul enam mata di belakang pendahulu, Bahrain, sembilan mata, skuad negara mendahului Bangladesh 1-0 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-16, namun tuan rumah tersentak apabila Bangladesh menyamakan kedudukan menerusi Mohammad Ibrahim pada minit ke-31.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon meneruskan serangan sebelum mendahului 2-1 hasil jaringan Dion Cools’ pada minit ke-38.

Serangan bertali arus pada babak kedua berjaya menghasilkan dua lagi gol menerusi Syafiq Ahmad pada minit ke-47 dan Darren Lok pada minit ke-73 sekali gus meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa.

Kali terakhir Malaysia mara ke Piala Asia secara merit pada edisi 1980 yang berlangsung di Kuwait.

Pada perlawanan pertama, Malaysia menundukkan Turkmenistan 3-1, namun tewas 1-2 kepada Bahrain dalam perlawanan kedua.

Kemenangan itu juga disaksikan 52,964 penonton, membolehkan Harimau Malaya mengesahkan kemaraan ke Piala Asia 2023, selaku antara lima naib juara terbaik kumpulan.

Malaysia pernah beraksi dalam saingan Piala Asia edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Sementara itu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya selepas layak ke Piala Asia.

“Alhamdulillah, penantian berakhir apabila kita layak ke Piala Asia 2023! Tahniah Harimau Malaya dan pemain yang berjuang sehingga ke tiupan wisel terakhir.

“Tahniah juga kepada penyokong yang menyokong pasukan kita tanpa berbelah bagi. Kita teruskan perjuangan di Piala Asia 2023!,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.