
Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata ini bagi memastikan Malaysia tidak berdepan situasi cemas membabitkan bekalan makan dalam negara, selain menjamin keselamatan makanan.
“Tadi saya umumkan ada kenaikan dalam ranking ‘food security’ tapi masih jauh sasaran untuk ‘top 10’.
“Malaysia kena ambil langkah tertentu untuk teroka secara agresif, gunakan teknologi hasilkan bahan keperluan makanan negara dan tak bergantung dengan bahan import,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat keenam MPN di Kementerian Kewangan.
Tegasnya, cadangan itu wajar difikirkan kerajaan bagi memastikan negara tidak bergantung sepenuhnya dengan import bahan makanan termasuk bekalan ternakan dan memberikan sebagai contoh bagaimana Malaysia masih bergantung kepada import sayur serta kelapa.
“Saya diberitahu oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan hampir 500 juta biji kelapa import sedangkan kita ada tanaman kelapa yang lama kita boleh bangunkan semula. Industri dimajukan semula kerana permintaan kelapa semakin meningkat.
“Sektor ternakan, pengeluaran susu boleh kita tambah, malah bekalan ayam kita sudah keluarkan 100-200%,” kata Muhyiddin.
Tambahnya, sekiranya cadangan itu dilaksanakan secara agresif dan selari dengan dasar jaminan keselamatan makanan, MPN percaya sektor industri makanan negara akan berada dalam tahap kesiapsiagaan yang optimum.
Katanya, Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan inflasi makanan bulan April 2022 meningkat lebih tinggi pada 4.1% dengan 89.1% item makanan telah merekodkan kenaikan.
“Peningkatan harga bahan makanan disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya perubahan cuaca tidak menentu; perkembangan geopolitik antarabangsa yang menjejaskan rantaian bekalan dunia; peningkatan harga input pertanian seperti benih dan baja; kos logistik yang meningkat; dan kekurangan sumber tenaga manusia di tapak pertanian.
“…sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh dan bersepadu, boleh menjejaskan lagi rantaian bekalan makanan dan sekuriti makanan negara serta menggugat kesejahteraan hidup rakyat. Proses pemulihan ekonomi negara akan turut terjejas sekiranya tidak ditangani dengan strategik,” katanya.
Selain itu, katanya, usaha pemulihan negara masih berjalan dan indikator ekonomi terbaru menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, seterusnya membuktikan pemulihan ekonomi sedang giat berlangsung.
“Antara indikator positif termasuk KDNK (keluaran dalam negara kasar) ekonomi negara yang berkembang sebanyak 5% pada suku pertama 2022, disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara. Kadar pengangguran pula buat pertama kalinya berkurangan di bawah paras 4.0% semenjak negara dilanda wabak Covid-19 dua tahun dahulu, apabila merekodkan kadar 3.9% dalam bulan April 2022,” katanya.