
Tertuduh, Ng Yu Lim, 42, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Ng didakwa membunuh Ong Suan Bee, 68, di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar antara 2.30 hingga 3 pagi, pada 26 Mei.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Syaiful menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan.
Sebelum ini media melaporkan seorang wanita warga emas dilaporkan hilang oleh anak perempuannya sejak 28 Mei lalu ditemukan mati dengan tubuhnya dikerat kepada 15 bahagian.
Kes pembunuhan kejam warga emas itu terbongkar selepas jiran mangsa terhidu bau busuk luar biasa dari rumah wanita itu sebelum melaporkan kepada polis.
Pemeriksaan di lokasi menemukan bahagian tubuh manusia yang dikerat dan disimpan dalam lubang tangki kumbahan dengan ditutup papan lapis, di bahagian belakang rumah.
Ekoran penemuan tersebut, anak lelaki mangsa yang tinggal bersamanya ditahan untuk siasatan lanjut.
Semakan mendapati suspek pernah mendapat rawatan sakit mental di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang, 20 tahun lalu.