Kes HFMD turun 22.9%

Kes HFMD turun 22.9%

Majoriti kes berlaku di Selangor iaitu 27.9% kes, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (11.2%), Perak (10.2%), Johor (6.6%) serta Kelantan (6.4%).

Menurut KKM, majoriti lokasi penularan wabak HFMD berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah.
PETALING JAYA:
Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) menurun 22.9% dengan 13,080 kes direkodkan minggu lalu berbanding 16,954 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 95,924 kes dilaporkan sejak awal tahun ini hingga Sabtu lalu, meningkat 36 kali ganda berbanding 2,654 kes yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kebanyakan kes (90%) adalah dalam kalangan kanak-kanak enam tahun dan ke bawah, diikuti 8% dalam kalangan mereka yang berumur tujuh hingga 12 tahun.

Beliau berkata, majoriti kes berlaku di Selangor, iaitu 27.9% kes, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (11.2%), Perak (10.2%), Johor (6.6%) dan Kelantan (6.4%).

Hisham turut mendedahkan tiga virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti dikesan tahun ini, iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coxsackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

“Terdapat tiga kes HFMD yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan kes pertama dan kes kedua disebabkan komplikasi radang otak (encephalitis), manakala kes kes ketiga telah pun sihat dan dibenarkan pulang,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga kini, sebanyak 1,882 wabak itu dilaporkan, dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi dengan 602 kes (32.0%), diikuti Sarawak dengan dengan 265 (14.1%) dan Selangor dengan 232 (12.4%).

Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah.

“Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.