‘Kenapa tak kata semua keluar’, Muhyiddin nafi Azmin, Rashid tinggalkan Bersatu

‘Kenapa tak kata semua keluar’, Muhyiddin nafi Azmin, Rashid tinggalkan Bersatu

Muhyiddin Yassin berkata beliau sering berbincang dengan Mohamed Azmin Ali mengenai parti dan masa depan Bersatu.

Muhyiddin Yassin menafikan Mohamed Azmin Ali dan Rashid Hasnon akan meninggalkan Bersatu.
PUTRAJAYA:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menafikan desas-desus Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Rashid Hasnon akan meninggalkan parti mengikuti jejak Zuraida Kamaruddin.

Katanya, ia adalah dakwaan palsu dan beliau sering berbincang dengan Azmin mengenai parti dan masa depan Bersatu.

“Kenapa tak kata semua keluar (Bersatu), lagi besar berita, setahu saya tidak betul (Azmin, Rashid keluar Bersatu) saya rapat dengan Azmin, dia adalah menteri yang datang daripada Bersatu dan kita kerap berbincang bukan saja soal masuk keluar, soal masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat keenam Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Kementerian Kewangan.

Muhyiddin mengulas laporan bahawa Azmin dan Rashid dijangka melompat parti dan dikatakan akan mengikut jejak Zuraida menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Katanya, beliau juga sebelum ini ada bertemu dengan Rashid pada majlis sambutan hari raya dan timbalan speaker Dewan Rakyat itu tidak memaklumkan hasrat meninggalkan parti dan segala dakwaan itu tidak berasas dan menunjukkan ada pihak yang takut kepada Bersatu.

“Kenapa orang nak bagi sasaran dan tumpu kepada Bersatu, apa nak bimbang dengan Bersatu, ini parti kecil sahaja,” katanya.

Ditanya status penganti Zuraida sebagai menteri daripada Bersatu, Muhyiddin berkata, Ismail Sabri Yaakob memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengannya selepas bertemu dengan menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu.

“Saya beritahu bahawa pendirian kita bahawa Zuraida dahulu duduk (sebagai menteri) atas kapasiti sebagai ahli Bersatu dan memang semenjak dulu kuota itu adalah kuota Bersatu, tetapi keputusan melantik siapa itu hak perdana menteri dan kita akan calonkan nama yang dianggap sesuai untuk menggantikan Zuraida,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.