
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata Nafas menyasarkan menguasai 20% pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor setahun.
“Nafas dan Angkasa akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.
“Nafas dan Angkasa akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin, bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap
import bahan mentah untuk makanan ayam,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, Ismail berkata beliau telah bertemu Ahli Jemaah Pengarah Nafas dan Angkasa bagi membincangkan mengenai langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.
Katanya, kerajaan menyambut baik inisiatif Nafas dan Angkasa untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam dan tindakan itu selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam.
Dalam pada itu, Ismail berkata Nafas telah mengenalpasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.
Beliau berkata, Angkasa juga telah mengenalpasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Katanya setiap hektar mampu mengeluarkan 5 tan jagung bijirin dan menampung sebanyak 20% daripada keperluan import jagung bijirin dalam tempoh lima tahun ini.
Ismail berkata, usaha Nafas dan Angkasa yang berskala besar ini diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam.
“Saya yakin Nafas dan Angkasa berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam dan bekalan makanan.
“Ini kerana Nafas mempunyai seramai 1 juta ahli, manakala 7 juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi. Angkasa juga diminta menerajui sektor koperasi dalam menangani kenaikan kos sara hidup,” katanya.