
Lim juga mahu kerajaan berjanji tidak akan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 sehingga pemansuhan hukuman mati mandatori mendapat perkenan diraja.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut menggesa Putrajaya memberi jaminan tiada hukuman mati akan dilaksanakan sehingga ia menyelesaikan kajiannya mengenai hukuman gantian bagi mereka yang dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Dalam menggesa Jemaah Menteri menjadikan sidang Dewan Rakyat pada Julai ini sebagai “bersejarah”, beliau menggesa rang undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori dibentangkan kemudian, bersama rang undang-undang anti-lompat parti.
Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Jemaah Menteri juga bersetuju supaya kajian lanjut dijalankan terhadap cadangan hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.
Wan Junaidi berkata, kerajaan secara prinsipnya menerima syor jawatankuasa yang diketuai Malanjum untuk mengkaji semula hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori itu.
Butiran syor jawatankuasa itu belum diketahui.
Semalam, bekas menteri undang-undang, Azalina Othman Said juga menegaskan laporan jawatankuasa itu belum didedahkan kepada umum dan ia menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan ahli Parlimen serta rakyat Malaysia.