Didakwa cabul kehormatan wanita, bekas ADUN Sedili mengaku tak bersalah

Didakwa cabul kehormatan wanita, bekas ADUN Sedili mengaku tak bersalah

Rasman Ithnain didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun pada 13 Januari dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.

Bekas ADUN Sedili Rasman Ithnain hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan terhadapnya di Mahkamah Majistret Muar, Johor. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Bekas ADUN Sedili Rasman Ithnain hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita Januari lepas.

Tertuduh berusia 54 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas tuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di Mahkamah Majistret Muar, Johor.

Rasman didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya pada 13 Januari dalam sebuah Toyota Vellfire kira-kira 5 petang di daerah Muar.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana daripadanya.

Sebelum itu, Pengarah Pendakwaan Negeri Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos mencadangkan jaminan sebanyak RM 5,000 dikenakan terhadap Rasman, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Tinggi.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Muhammad Mohd Nasir dan Muhammad Izzad Syafiq Ismail meminta jumlah jaminan itu dikurangkan, memandangkan anak guam mereka memberi kerjasama sepanjang siasatan.

Majistret Amalina Basirah Md Top kemudiannya membenarkan jaminan berjumlah RM4,000 dengan seorang penjamin, lapor Utusan.

Beliau juga menetapkan 3 Julai untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen, selain 16 hingga 18 Ogos sebagai tarikh perbicaraan.

Terdahulu dilaporkan bahawa polis menerima laporan daripada seorang wanita, yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi, mendakwa Rasman menganggunya secara seksual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.