Demi tambang berpatutan, menteri setuju tambah syarikat penerbangan

Demi tambang berpatutan, menteri setuju tambah syarikat penerbangan

Menteri pengangkutan berkata penambahan syarikat penerbangan juga akan menyumbang kadar tambang berpatutan kepada pengguna.

Kerajaan mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan menawarkan tambang rendah beroperasi di negara ini, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.
PETALING JAYA:
Lebih banyak syarikat penerbangan akan dibenarkan beroperasi di negara ini bertujuan menambah persaingan, seterusnya memberikan banyak pilihan kepada pengguna.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, berkata tindakan itu juga akan menyumbang terhadap kadar tambang berpatutan kepada pengguna.

Katanya, setakat ini perkara itu sudah di peringkat pemeriksaan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan diuruskan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

“Tidak lama lagi, kita tidak ada masalah kita tambah syarikat penerbangan, kita benarkan. Ini sedang diuruskan oleh Mavcom.

“Hal ini belum dapat keputusan penuh kerana tertakluk kepada pemeriksaan rapi oleh CAAM,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Wee berkata, pihaknya juga mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan yang boleh menawarkan kadar tambang rendah beroperasi di negara ini.

Katanya, langkah itu diambil susulan rungutan ramai pengguna perkhidmatan penerbangan yang melaporkan harga tiket penerbangan sering meningkat.

Dalam pada itu, mengenai rayuan penyedia perkhidmatan bas, bas henti-henti, e-hailing, teksi, feri dan pengangkutan lain yang memohon agar kadar tambang dinaikkan, beliau berkata perkara itu kini dalam penelitian satu jawatankuasa khas.

“Kita faham, sebenarnya kita ada satu jawatankuasa Kabinet yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dipengerusikan oleh perdana menteri.

“Jawatankuasa Kabinet ini untuk meninjau kos sara hidup, termasuk aspek pengangkutan. Ia juga termasuk apa-apa kenaikan, perlu dibawa kepada jawatankuasa ini untuk sebarang penelitian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.