Bekas speaker Dewan Negara, Abang Ahmad Urai meninggal dunia

Bekas speaker Dewan Negara, Abang Ahmad Urai meninggal dunia

Abang Ahmad Urai Abang Mohideen meninggal dunia selepas dikejarkan ke pusat perubatan swasta di Petra Jaya selepas rebah dalam acara di sebuah hotel di Kuching.

Bekas speaker Dewan Negara, Abang Ahmad Urai Abang Mohideen, 89, berkhidmat dari 1988 hingga 1990, selain pernah memegang jawatan timbalan menteri kebudayaan, belia dan sukan Sarawak. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Bekas speaker Dewan Negara Abang Ahmad Urai Abang Mohideen, meninggal dunia, di Pusat Perubatan Normah Sarawak di Petra Jaya di sini, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

Berita kematian tersebut disahkan pembantu peribadi allahyarham ketika dihubungi Bernama, hari ini.

“Tan Sri (Abang Ahmad Urai) telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Normah selepas rebah ketika menghadiri satu acara di sebuah hotel (di Kuching). Beliau meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi.

“Jenazah allahyarham akan dibawa ke kediamannya di Jalan Muda Hashim pagi ini,” katanya.

Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umat Islam Masjid Bahagian di sini, selepas Zohor.

Abang Ahmad Urai, 89, merupakan Speaker Dewan Negara dari 1988 hingga 1990.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan timbalan menteri kebudayaan, belia dan sukan Sarawak.

Sementara itu Premier Sarawak Abang Johari Openg, menyifatkan Abang Ahmad Urai sebagai seorang yang banyak berjasa dalam arena politik Sarawak.

Beliau berkata, allahyarham telah terlibat dalam politik sebelum kemerdekaan dan turut menyumbang jasanya dalam parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Sudah tentu PBB kehilangan pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman, dan secara peribadi saya kehilangan seorang ayah saudara (allahyarham Tan Sri). Beliau di antara generasi tua yang banyak memberi nasihat kepada kita generasi muda dalam sudut bagaimana hendak berkhidmat dengan masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga presiden PBB berkata demikian semasa menghadiri majlis Rumah Terbuka Gawai di Dewan Suarah Bau, di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.