
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata, sistem pengairan yang terjejas itu meliputi 19,058 hektar sawah bawah Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan sebahagian kawasan IADA Pulau Pinang di Sungai Acheh seluas 1,267 hektar.
“Subsektor yang turut mendapat manfaat daripada usaha ini, selain 8,889 orang pesawah di kawasan IADA Kerian dan 1,267 orang pesawah dari kawasan IADA Pulau Pinang, adalah sektor perikanan dan perkilangan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ronald, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan tentera udara, serta agensi-agensi berkaitan dijangka melaksanakan OPA selama tiga hari pada 14 hingga 16 Jun, bergantung pada keadaan awan dan kelembapan yang sesuai.
“OPA ini adalah satu proses untuk menggalakkan pembentukan awan hujan susulan isu penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah, sumber utama pengairan pertanian di kawasan tersebut, yang mencapai kategori Kritikal Pengairan Tahap 3 iaitu 6.10m.
“Kementerian juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air, MetMalaysia, kerajaan negeri Perak dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk mencari kaedah jangka masa panjang bagi menyelesaikan isu air ini,” katanya.
Jumaat lepas, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Razman Zakaria berkata, pihaknya yakin proses pembenihan awan dapat membantu menurunkan hujan di kawasan terjejas.