
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, ini berdasarkan bedah siasat yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar dan dakwaan bahawa mangsa hamil hanya spekulasi yang disebarkan menerusi media sosial.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui motif pembunuhan namun kita yakin ia ada kaitan dengan teman lelakinya yang ditahan bagi membantu siasatan.
“Reman ke atas lelaki itu disambung enam hari lagi hingga Khamis depan manakala empat lagi masih direman hingga Isnin depan,” katanya kepada pemberita.

Sabtu lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun sebelum menahan empat individu lain bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, Mior dilaporkan berkata, satu mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh ditemui dalam keadaan terbakar pada 3.05 petang, 31 Mei lalu.
Polis turut menemui seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah berhampiran mayat itu yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kepala mangsa.
Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar Selasa lalu mendapati punca kematian mangsa adalah akibat hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.