Sabah komited tuntut cukai jualan negeri daripada Repsol, SEAH, kata Masidi

Sabah komited tuntut cukai jualan negeri daripada Repsol, SEAH, kata Masidi

Masidi Manjun berkata langkah itu diambil mengikut Enakmen Cukai Jualan Negeri 1988.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun merujuk kepada kenyataan Hibiscus Petroleum Bhd berhubung keengganan membuat pembayaran SST oleh anak syarikat milik penuhnya Repsol dan SEAH. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah komited sepenuhnya menggunakan semua hak perlembagaan dan perundangan dalam menuntut cukai jualan negeri (SST) yang perlu dibayar untuk penjualan produk petroleum daripada Repsol Oil and Gas Ltd (Repsol) dan SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEAH).

Menteri Kewangan Kedua Sabah, Masidi Manjun, berkata langkah itu adalah mengikut Enakmen Cukai Jualan Negeri 1988.

Masidi, yang juga menteri kerajaan tempatan dan perumahan negeri, merujuk kepada kenyataan Hibiscus Petroleum Bhd baru-baru ini berhubung keengganan membuat pembayaran SST oleh anak syarikat milik penuhnya Repsol dan SEAH.

“Untuk rekod, kedua-dua Repsol dan SEAH telah memohon kepada Kementerian Kewangan Sabah dan kemudiannya dikeluarkan dengan lesen yang diperlukan sebagai ‘orang kena cukai’ menurut Peraturan Cukai Jualan Negeri 1999.

“Oleh itu, kerajaan negeri secara mutlak menyangkal dakwaan atas dasar Repsol dan SEAH enggan membuat pembayaran SST dan telah pun menuntut pembayaran yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Masidi mendakwa, terdapat perbincangan antara wakil pihak terlibat berhubung isu ini.

Bagaimanapun, perkara itu kini telah menemui jalan buntu dan kedua-dua syarikat kekal bertanggungjawab dan mempunyai kewajipan berterusan untuk membuat pembayaran bagi jumlah SST yang tertunggak, termasuk penalti.

“Kerajaan Sabah berhak untuk mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu mengikut kuasa, pihak berkuasa dan bidang kuasa negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.