
Bekas ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata dengan adanya penyiasatan menyeluruh itu, ia dapat merungkai jika berlaku penipuan dan perlu dinyatakan dengan berani termasuk mengenakan tindakan tegas kepada mereka terlibat.
“Saya rasa apa yang diputuskan oleh pimpinan MPP (tangguh kongres) itu betul dan tepat pada masanya, jadi kita harap keadilan dapat ditegakkan.
“Kita juga akan mendapat laporan penuh berhubung pemilihan sama ada wujud penipuan, manipulasi. Kita perlu berani menyatakan perkara ini dengan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada FMT.
Farhash berkata, desakannya sebelum ini supaya audit forensik dilakukan berhubung pemilihan dibuat kerana melibatkan banyak pihak.
“Apabila saya gesa supaya audit forensik dilakukan, ia sebenarnya melibatkan pandangan akar umbi. Bayangkan terdapat 2,000 laporan dan ini bermakna ada sesuatu yang tak kena,” katanya.
Terdahulu, seorang Ahli MPP PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid memaklumkan kongres parti yang dijadualkan berlangsung akhir bulan ini ditangguhkan pada 15 hingga 17 Julai.
Katanya, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat MPP semalam.
Perkara itu turut disahkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail sambil memaklumkan penangguhan dibuat setelah meneliti beberapa dapatan dan syor dibentang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung proses aduan pada pemilihan parti.