
Beliau memberitahu kumpulan yang membuat bantahan terhadap keputusan itu di Dhaka supaya “tidak membuli Malaysia”, dengan berkata, bilangan agensi yang dilantik oleh negara lain lebih sedikit.
Menteri itu yang kelihatan kecewa dengan reaksi di Bangladesh mempersoalkan mengapa kumpulan itu membantah keputusan Malaysia sedangkan ia melantik 25 agensi, meningkat berbanding 10 yang dibenarkan di bawah memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini.
Saravanan berkata, Singapura mengurangkan jumlah itu daripada 14 kepada enam, manakala Hong Kong kurang daripada sepuluh. Terdapat kira-kira 1,500 agensi pengambilan pekerja di Bangladesh.
“Jadi mengapa mereka membantah keputusan kita? Apabila kita membenarkan semua agensi terlibat pada 2008, ia menyebabkan 100,000 warga Bangladesh ditipu dan berada di jalanan sekitar Kuala Lumpur tanpa pekerjaan dan makanan,” katanya.
Malah katanya, mereka mengepung Suruhanjaya Tinggi Bangladesh hingga pegawainya tidak dapat keluar daripada premis itu selama tiga hari, hingga polis berjaya menghantar mereka semua ke depoh tahanan.
Beliau berkata, majikan yang memerlukan pekerja terpaksa ke pusat itu.
“Adakah mereka mahu kekacauan ini berulang lagi? Kita mahu memastikan pekerja mereka tidak ditipu dengan mengehadkan bilangan itu. Ia bukan untuk memberi manfaat kepada sesiapa pun seperti mereka dakwa,” katanya.
Mengenai dakwaan kumpulan anti-sindiket Dhaka bahawa kebanyakan daripada 25 agensi itu dikawal oleh Mohd Amin Abdul Nor yang didakwa mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Malaysia, Saravanan berkata: “Beliau berasal dari Bangladesh dan kini warganegara Malaysia. Dialah yang sebenarnya membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing ke Malaysia bertahun-tahun dahulu. Dia tidak terlibat dalam pengambilan pekerja.”
Katanya, hanya 10,000 pekerja dibawa masuk menerusi aturan kerajaan kepada kerajaan dari 2009 hingga 2012 apabila perakuan itu dibuat Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.
“Model pada 2016, di mana kami mengehadkannya kepada 10 agensi, adalah paling berjaya dengan bilangan pekerja yang tinggi datang dengan jaminan pekerjaan.”