
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, perkara itu sepatutnya telah lama dilaksanakan memandangkan lambakan produk yang mengeksploitasi kepercayaan keagamaan dan kejahilan terhadap sains.
“Ada produk yang jelas mengeksploitasi segelintir masyarakat yang mudah ‘termakan’ dengan dakwaan keagamaan dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan mereka dan keluarga.
“Ramai orang yang hidup dengan penyakit serius dan kronik seperti kanser dan kencing manis yang memerlukan rawatan perubatan betul. Sebaliknya mereka ‘digoda’ dengan dakwaan yang tidak berasas dan tidak terbukti kebenarannya,” katanya kepada FMT.
Pada Rabu, Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mediha Mahmood berkata, Kod Kandungan 2022 didraf bagi menghalang pengiklan dan pemilik produk menggunakan elemen keagamaan untuk menarik pelanggan.
Katanya, kod itu akan dikuatkuasakan menjelang hujung tahun ini dan menambah bahawa larangan berkenaan terpakai untuk penggunaan elemen keagamaan bagi semua agama, bukan sahaja Islam. Ini supaya agama tidak digunakan sebagai gimik pemasaran.
Azrul menambah, kod etika adalah penting untuk menghalang penjualan produk yang mendakwa mampu menyembuhkan penyakit kanser atau kencing manis dengan menggunakan kalimah keagamaan tertentu.
Katanya, produk seperti itu hanya membahayakan malah mengganggu proses rawatan dan penjagaan yang sepatutnya untuk pesakit.
Bagaimanapun, Azrul percaya orang ramai tetap akan membeli produk yang sebelum ini diiklankan menggunakan elemen keagamaan walaupun sekatan dilaksanakan.
Menurutnya, ini kerana golongan itu telah meletakkan kepercayaan penuh terhadap barangan berkenaan, apatah lagi kepercayaan agama adalah sesuatu yang begitu sebati dengan kebudayaan dan masyarakat Malaysia berbanding bukti saintifik.
Sementara itu, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) berkata, pengguna Muslim pasti mendapat manfaat daripada peraturan berkenaan, malah menyifatkan keputusan itu tepat pada waktunya memandangkan penggunaan media sosial digunakan secara berleluasa untuk menyebarkan salah faham dan kekeliruan.
Imam menggesa pihak berkuasa menyediakan garis panduan dan penilaian kandungan menyeluruh untuk pengeluar serta pengiklan Muslim bagi mengekang penyebaran maklumat salah.
“Garis panduan seperti itu pasti akan membantu pengiklan memberikan maklumat lebih tepat, sesuai dan jujur mengenai produk mereka,” katanya.